comscore
Tumpuan :
Nasional

Enam hektar kebakaran hutan di Kuantan dipadamkan JBPM

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berusaha memadam kebakaran hutan di Jalan Kuantan-Pekan dan Kampung Seri Damai. – FOTO: Ihsan JBPM Pahang

KUANTAN: Seramai 17 angota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan empat jentera terbabit dalam operasi memadam kebakaran hutan seluas kira-kira enam hektar berhampiran perumahan Jalan Kuantan-Pekan dan Kampung Seri Damai, semalam.

Kebakaran membabitkan kawasan hutan paya gambut dan dipercayai berlaku berikutan cuaca panas dan kering serta berangin di daerah ini.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, Zulfathi Zakaria berkata anggota yang terbabit dalam operasi kali ini dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Taman dan BBP Indera Mahkota.

Menurutnya, untuk memadam api yang cepat merebak, pihaknya menggunakan kaedah sempuran air dari tangki jentera.

Katanya, operasi memadam kebakaran diteruskan hari ini sehingga api dapat dipadamkan sepenuhnya.

Kawasan hutan paya gambut sedikit menyukarkan usaha memadam api.

“Anggota terpaksa berhati-hati ketika melakukan pemadaman api dalam kawasan hutan terbabit bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku, terutama kejadian jerlus.”

“Kita berharap usaha memadam dan mengawal kebakaran daripada terus merebak dapat segera dilakukan,” katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan pantas anggota semalam berjaya memadam sebahagian api yang cepat merebak hingga menghampiri beberapa rumah di Kampung Seri Damai.

Zulfathi berkata operasi memadam kebakaran hutan seluas kira-kira enam hektar itu dilakukan secara berterusan sehingga api dapat dipadam sepenuhnya.

“Jabatan menasihatkan masyarakat supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelak api merebak, dalam keadaan cuaca panas dan kering serta berangin ini kebakaran cepat merebak,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini