KUCHING: Enam individu, termasuk wanita dan kanak-kanak, dipercayai tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, awal pagi ini.
Mangsa melibatkan dua wanita dewasa, tiga kanak-kanak perempuan, dan seorang kanak-kanak lelaki, sementara seorang lelaki dewasa dilaporkan terselamat.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada jam 2.58 pagi.
Seramai 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral serta BBP Lopeng segera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
“Setibanya di lokasi yang terletak tiga kilometer dari balai pada jam 3.03 pagi, polis melaporkan kemungkinan terdapat enam mangsa yang tertimbus.
“Setakat jam 3.48 pagi, usaha untuk mengeluarkan yang tertimbus masih giat dijalankan,” katanya.
Semalam, seramai 273 penduduk yang mendiami 32 rumah di Kampung Lereng Bukit diarah berpindah apabila runtuhan tebing Bukit Kanada, menjejaskan kediaman mereka.
Kejadian itu berlaku berikutan hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.