SUNGAI BESAR: Enam sekeluarga nyaris rentung selepas rumah mereka di Jalan Mawar, Kampung Hala Cara Baru, Sungai Panjang, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi tadi.
Difahamkan, keenam-enam mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka serta seorang wanita sedang tidur ketika kejadian itu berlaku namun berjaya menyelamatkan diri.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 pagi.
Menurutnya tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar dan Sabak Bernam dengan kekuatan 14 anggota terbabit dalam operasi pemadaman itu.
“Menurut laporan awal, kebakaran membabitkan sebuah rumah kayu yang terbakar 95 peratus. Turut musnah adalah kereta Perodua Myvi dan Proton Wira,” katanya ketika dihubungi.
Ahmad Mukhlis berkata api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira satu jam kemudian.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.