Oleh: Kumaran Rajamoney
ALOR SETAR: Polis Kedah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 dan 304 Kanun Keseksaan terhadap enam anggotanya dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi berhubung kematian seorang lelaki dipercayai akibat kecederaan ketika pergelutan semasa ditahan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata siasatan dijalankan susulan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada 2 Februari lalu yang mendapati mangsa meninggal dunia kerana mengalami trauma di kepala atau ‘Blunt Force Trauma to The Head‘.
“Pada awalnnya kita klasifikasikan kes sebagai mati mengejut. Ekoran daripada dapatan bedah siasat, satu siasatan dijalankan bagi penyiasatan terperinci dilakukan bagi mengetahui punca sebenar atau penyebab kepada kematian yang berlaku.
“PDRM Kedah sentiasa profesional dan telus dalam menjalankan siasatan dan akan mendakwa sesiapa pun walaupun melibatkan pegawai dan anggota PDRM sendiri. Kita telah merakam keterangan saksi di tempat kejadian serta mengumpul bukti rakaman video,” katanya.
Kesemua anggota polis yang terlibat dalam pergelutan itu katanya masih bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Langkawi dan tertakluk kepada siasatan yang dijalankan.
Dalam kejadian pada 29 Januari lalu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah IPD Langkawi menahan seorang lelaki yang dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Hasil penahanan menemukan keratan straw berisi serbuk disyaki dadah jenis Heroin beranggaran berat 0.21 gram di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar dipakai suspek.
Suspek mempunyai tiga rekod kesalahan jenayah dan empat rekod dadah.
Semasa tangkapan dibuat ke atas suspek yang berusia 31 tahun, berlaku pergelutan dan suspek mengalami luka di beberapa bahagian badan.
Polis kemudian bawa suspek ke Klinik Kesihatan Kuah, Langkawi untuk rawatan atas kecederaan yang dialami sekitar jam 8 malam.
“Semasa di klinik suspek telah rebah dan tidak sedarkan diri. Suspek kemudian telah dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan ditahan di wad zon merah Jabatan Kecemasan. Pada 1 Februari 2024, pihak polis dimaklumkan bahawa suspek telah meninggal dunia.”
Baru-baru ini tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki ditahan sekumpulan polis di sebuah stesen minyak dan video itu turut memaparkan lelaki itu di hospital.
Semalam, keluarga lelaki yang maut selepas mendakwa diserang anggota polis ketika ditahan di Langkawi itu menuntut pembelaan di atas kematian mangsa dan meminta pihak polis mengemukakan penjelasan berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.