KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menggantung lesen syarikat Emraz Travel & Tours Sdn Bhd selama enam bulan berkuat kuasa Isnin ini hingga 9 Januari tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara itu diputuskan selaras dengan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) di bawah subseksyen 8(1)(d) iaitu menjalankan perniagaan mengikut cara yang memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.
“Dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurus niagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah.
“Dalam tempoh penggantungan lesen ini juga, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan dengan syarikat serta membuat penjadualan semula penerbangan umrah yang tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, sekiranya didapati syarikat melanggar syarat ini, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan selepas habis tempoh lesen.
Pada 2 April lalu, Lembaga Tabung Haji (TH) menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji susulan aduan awam berkenaan perkhidmatan umrah yang ditawarkan syarikat tersebut.