PONTIAN: Cubaan menyeludup minyak oleh sekumpulan warga Indonesia berjaya digagalkan oleh bot ronda Maritim Malaysia di perairan Tanjung Piai, Kukup di sini, pagi tadi.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya berjaya menahan suspek terbabit pada jam 6.00 pagi di perairan berkenaan.
Katanya, cubaan menyeludup minyak yang disyaki diesel dilakukan oleh empat lelaki warga Indonesia berumur di antara 33 hingga 50 tahun.
“Suspek terbabit menggunakan sebuah bot kayu tanpa tanda nama di kedudukan 3.5 batu nautika tenggara Tanjung Piai.
“Penahanan suspek adalah hasil rondaan pihak kami yang mengesan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan sekitar jam 5.30 pagi di perairan berkenaan,” katanya.
Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai pengenalan diri dan membawa 1,880 liter bahan bakar disyaki diesel di dalam tong pelbagai saiz.
Katanya, semua suspek dan sebuah bot kayu ditahan serta dibawa ke Jeti Maritim Sungai Pulai untuk siasatan lanjut.
” Kes disiasat di bawah Akta Imigersen 1959/63 dan Akta Kastam 1967, minyak diesel di Malaysia pada harga RM2.15 seliter, manakala harga di Indonesia sekitar RM4.49 seliter, ” katanya