TANJUNG MALIM: Dalam usaha memperkukuh pendidikan berteraskan Sains, Teknologi, Pembacaan, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STREAM), satu Memorandum Persefahaman (MoU) ‘1 + 3 Matching Grant’ dimeterai antara Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Antarabangsa UNITAR, Universiti SEGI dan Universiti Teknologi Mara (UiTM)
MoU telah ditandatangani oleh Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md Amin Md Taff; Naib Canselor UNITAR, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Sahol Hamid Abu Bakar; Naib Canselor Universiti SEGI, Prof. Dr. Azrin Esmady Ariffin dan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ts. Roziah Mohd Janor dalam majlis yang diadakan di UNITAR.
Prof. Datuk Dr Md Amin berkata melalui MoU tersebut, geran sepadan bernilai RM80,000 ini akan memfokus kepada kajian yang bertajuk “Memanusiakan Pedagogi dalam Talian Melalui Integrasi Pendidikan STREAM di universiti-universiti Malaysia bagi Perkhidmatan Teknikal Pengkomputeran”.
Beliau berkata kumpulan penyelidik UPSI dari Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (FKMT) terdiri daripada Prof. Dr. Che Zalina Zulkifli, Dr. Nor Asiah Mohamad@Razak, Dr. Yusri Abdullah, Dr. Suliana Sulaiman dan Hasnatul Nazuha Hassan.
Katanya, kumpulan itu akan melaksanakan kajian terhadap pelajar dari bidang kejuruteraan perisian, teknologi maklumat, sains komputer, reka bentuk dan teknologi serta permainan digital.
Menurut Prof. Datuk Dr Md Amin kumpulan penyelidik UNITAR akan menumpukan kepada pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan Sarjana Teknologi Maklumat (MIT), sementera penyelidik SEGI kepada pelajar bidang kesihatan dan sosial. Penyelidik dari UiTM pula akan berfokus kepada pelajar dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata pelaksanaan kajian dua tahun ini dijangka menyumbang kepada aspek kualiti pedagogi pendidikan STREAM dalam talian, sekaligus memberi impak kepada kemenjadian pelajar dalam bidang kejuruteraan, teknikal dan teknologi maklumat dan ia bertepatan dengan hasrat UPSI sebagai peneraju bidang pendidikan di Malaysia.
Dapatan kajian ini juga akan dijadikan panduan bagi pembinaan Modul STREAM selaras dengan Pembelajaran Abad 21.