comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Empat tertuduh kubur besar Wang Kelian didakwa esok

PETALING JAYA: Empat individu warga Thailand akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis esok, berkaitan kes penemuan kem penempatan sementara dan kubur besar di Wang Kelian pada Mei 2015, menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Katanya, pihak berkuasa Malaysia berjaya mendapat perintah ekstradisi kesemua tertuduh dari Thailand dan mereka sudah berada di negara ini.

“Sepanjang enam tahun ini kerajaan Malaysia dan Thailand menjalankan siasatan untuk mengesan dan mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

“Hasil daripada siasatan yang dijalankan pihak berkuasa Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi ke atas 10 individu warganegara Thailand pada Januari 2017” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, hasil kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu berkenaan berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

“Kes ekstradisi ini berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lalu sebelum akhirnya perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu dikeluarkan untuk diserahkan kepada Malaysia,” ujarnya.

Saifuddin berkata, Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan semua pihak yang terbabit dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu-individu lain yang terbabit untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” tambahnya.

Kerajaan kata beliau sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

Menurutnya, usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Pada Mei 2015, polis menemui 139 kubur di 28 kem sementara di Wang Kelian berhampiran sempadan Thailand-Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket pemerdagangan orang.

Kubur yang sama turut dijumpai di Thailand.

Kebanyakan yang menjadi mangsa sindiket itu berasal dari Myanmar dan Bangladesh.

Loading...
Terkini