KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan empat teras pelan strategik seiring penaiktarafan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) sebagai universiti penuh bagi mencapai misi membangunkan profesional beretika, holistik serta seimbang melalui pengetahuan dan teknologi kontemporari ke arah pembangunan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata strategik pertama, UPTM akan memberikan tumpuan kepada usaha transformasi kemahiran tatacara kerja dan kualiti pengajaran warga kerja selari dengan adunan terkini.
Katanya, penerapan nilai budaya kerja cemerlang serta penyampaian perkhidmatan yang cekap serta berkesan akan menjadikan UPTM lebih disegani.
“Kedua, UPTM berhasrat untuk menjadi sebuah kampus pintar dan pelaksanaan inisiatif ini seiring dengan saranan kerajaan dalam memperkasakan agenda digital di negara ini.
“Bertepatan dengan keperluan era Revolusi Industri 4.0, UPTM perlu melaksanakan transformasi digital kepada sebuah kampus pintar supaya terus relevan terhadap keperluan semasa dan jangkaan pemegang taruh,” katanya pada Majlis Pemasyhuran UPTM sebagai universiti penuh di sini hari ini.
Ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang. Yang turut sama, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
UPTM menawarkan 25 program pengajian terdiri daripada dua pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana (empat), Ijazah Sarjana Muda (12), Perakaunan Profesional (dua), Diploma (tiga) dan dua program asasi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerjasama strategik dengan pemain industri, agensi atau syarikat juga mampu meningkatkan peluang graduan mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.
Katanya, kolaborasi ini penting dan bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar melalui beberapa bidang fokus, antaranya akses kepada pasaran global, pembangunan sumber manusia serta pemindahan teknologi serta pengetahuan.
“Pada teras terakhir pula, UPTM akan meningkatkan strategi penjanaan pendapatan baharu seperti perundingan industri pakar dan pengkomersilan idea. Ini pastinya menjadi cabaran yang berat tetapi perkara ini tidak mustahil untuk dicapai.
“Perkhidmatan yang boleh memberi pendapatan kepada universiti perlu dijadikan sebagai rutin, contohnya aspek penyelidikan, sewaan bangunan, kemudahan atau infra sukan yang boleh memberi pendapatan kepada universiti,” katanya.
Katanya, mentaliti menggunakan jalan mudah mendapatkan sumber kewangan melalui bajet sedia ada perlu diubah dan setiap warga kerja UPTM harus berfikir cara untuk menjana pendapatan universiti.
Beliau berkata, UPTM juga memberikan fokus kepada kebitaraan perniagaan dan perakaunan, selain, program akademik lain seperti pendidikan dan teknologi maklumat akan turut diberikan keutamaan pengurusan UPTM.
“UPTM perlu menawarkan program pengajianberkualiti yang mendapat permintaan tinggi dan sentiasa relevan dengan keperluan industri.
“Selain memastikan semua program mendapat akreditasi badan pengiktirafan seperti Lembaga Akreditasi Negara (MQA), kualiti tenaga pengajar, fasiliti dan suasana pengajaran dan pembelajaran yang kondusif perlu dititikberatkan, bersesuaian dengan taraf universiti,” katanya.
Dalam pada itu katanya, penggunaan teknologi dan media pada abad ke-21 kini terutamanya dalam Pengajaran dan Pembelajaran pasti mampu meningkatkan tahap kemahiran pelajar-pelajar untuk mendapat maklumat dengan berkesan.
“Saya juga berhajat untuk melihat UPTM memfokuskan bidang penyelidikan berasaskan pembangunan komuniti dan inovasi sosial dengan menggabungkan bidang keusahawanan, sumber manusia, pendidikan dan teknologi maklumat.
“Usaha pensyarah UPTM dalam penyelidikan akan menjadi kayu ukur kepada limpahan pengetahuan yang memberi impak kepada masyarakat khususnya di luar bandar,” katanya.