KUALA TERENGGANU: Hujan yang melanda Terengganu sejak pagi tadi menyebabkan empat sungai di negeri ini merekodkan bacaan melepasi paras bahaya.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, empat lagi sungai berada di paras amaran dan lima lagi berada pada paras waspada.
Tiga sungai yang mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya ialah di daerah Hulu Terengganu serta satu di daerah Dungun.
Di Hulu Terengganu, ia membabitkan Sungai Peneh di Kampung Felda Mengkawang (F1) dengan bacaan 38.01 meter (m), Sungai Peneh di Felda Mengkawang (37.94m) dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu (21.68m).
Turut merekodkan bacaan melepasi paras bahaya adalah Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun yang kini mencatatkan bacaan 39.23m berbanding paras normal 35.7m.
Sementara itu, dua sungai di Hulu Terengganu iaitu Sungai Berang di Kampung Menerong dengan bacaan 24.10m dan Sungai Telemong di Kuala Ping yang berada pada paras 19.4m pula direkodkan melepasi paras amaran.
Selain itu, dua lagi sungai yang direkodkan melepasi paras amaran adalah Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu dengan bacaan 20.31m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru, Kemasik, Kemaman yang berada pada paras 2.05m.
Lima sungai yang melepasi paras waspada adalah dua di Setiu serta masing-masing satu di Besut, Kuala Terengganu dan Kemaman.
Di Setiu, Sungai Nerus di Kampung Bukit dan Sungai Setiu di Kampung Besut masing-masing merekodkan bacaan 10.77m dan 16.46m.
Tiga lagi sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (33.63 m), Sungai Terengganu di Jambatan Angkat, Kuala Terengganu (1.41 m) dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman (17.66m).