SEREMBAN: Empat sungai di Negeri Sembilan dikesan berlaku kenaikan paras air yang mendadak dan berada pada paras bahaya susulan hujan lebat sejak lewat petang semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata sungai terbabit ialah Sungai Muar, Sungai Gemas, Sungai Serting dan Sungai Gemencheh.
Katanya, terdapat juga kejadian tebing runtuh berhampiran kawasan kediaman penduduk di Felda Jelai 4, Gemas.
“Setakat tengahari tadi, terdapat empat buah kawasan yang dinaiki air iaitu Felda Jelai 4, Kampung Air Kuning, Pekan Gemas dan Kampung Gedok di kawasan Gemas, Tampin.
“Setakat ini sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu di Sekolah Agama Rakyat Felda Jelai 4, yang mula dibuka pada jam 1.30 tengahari tadi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.
Aminuddin berkata, Pusat Kawalan Bencana Negeri (NeSCOM) di sini, sudah diaktifkan sejak beberapa hari lalu sebagai keselamatan bagi memantau keadaan cuaca dan banjir.
Beliau berkata, anggota keselamatan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah dikerah ke lokasi yang terjejas bagi memberikan bantuan.
“Kita nasihatkan orang ramai terutama di lokasi dinaiki air dan banjir agar lebih peka dan mematuhi arahan pasukan keselamatan, bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.
“Saya berharap semua pihak bersiap siaga, jaga harta benda kenderaan pindahkan ke tempat selamat, ikut arahan dari pihak berkuasa dan jika arahan pindah, patuhlah,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap bahaya di empat negeri sehingga esok.
MetMalaysia dalam kenyataan yang dikemas kini pada 1.05 tengah hari tadi memaklumkan hujan sangat lebat berterusan dijangka berlaku di Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan daerah Jerantut, Maran dan Kuantan di Pahang.