Tumpuan :
Nasional

Empat sekeluarga yang didakwa hilang, kini selamat berada di Kluang

KLUANG: Polis mengesahkan empat sekeluarga yang dilaporkan hilang selepas bercuti di Pulau Perhentian, selamat pulang ke rumah mereka di Kluang, Johor.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad ketika dihubungi memberitahu ahli keluarga telah memaklumkan bahawa mereka yang dikatakan hilang itu kini berada di Kluang.

Dalam pada itu seorang lelaki menerusi laman Facebook memaklumkan bahawa ibu mertua, adik ipar dan dua orang anaknya sudah dijumpai.

Individu berkenaan yang  dikenali sebagai Ah Pek itu dipercayai menantu kepada Suraidah Abdul Ghani, 52, wanita yang dikatakan hilang bersama 3 ahli keluarganya lain.

“Alhamdulilah ibu mertua, adik ipar lelaki dan dua orang anak saya telah selamat dijumpai,” kata pemilik akaun Facebook terbabit.

Dalam hantaran dimuat naik kira-kira 3 petang tadi, Ah Pek mengucapkan penghargaan kepada pihak berkuasa dan orang ramai sehingga berjaya menjejaki keluarganya itu.

“Terima kasih pada semua rakan,pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai.

“Sekarang saya masih dalam perjalanan dari Terengganu menuju pulang ke Kluang untuk tarik laporan (polis).

“Yang bahawasanya kes sudah selesai. Tanpa bantuan anda siapalah saya.

“Sekali lagi ucapan ribuan terima kasih bagi semua yang membantu, mendoakan, menyampaikan.

“Semoga tuhan membalas jasa baik dan niat murni tuan-tuan semua. Alhamdulilah syukur,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan empat sekeluarga iaitu seorang wanita, anak lelaki dan dua cucunya dikhuatiri hilang kerana gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini hujung minggu lalu.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini