comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat sekawan keluar mandi sungai, seorang ditemui lemas

Foto Ihsan Bomba

KOTA TINGGI: Seorang remaja ditemui lemas selepas mandi di sungai dekat kawasan perkampungan Kampung Baru Felda Sungai Mas, Bandar Penawar di sini, pagi tadi.

Ketika kejadian mangsa Muhammad Izwan Shah Nazeri, 13, dikatakan bersama tiga lagi rakannya mandi di sungai paya bakau itu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Penawar, Pegawai Bomba Kanan II Abd Rahim Abd Rani berkata, Pusat Gerakan Oprerasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan berkaitan mangsa lemas pada jam 10.12 pagi.

Beliau berkata, seramai lapan anggota dari BBP Bandar Penawar bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat seorang mangsa iaitu remaja lelaki berusia 13 tahun lemas ketika mandi di sungai.

“Mangsa dilihat orang awam dan telah dibawa ke kawasan selamat oleh orang awam sebelum PKO tiba di lokasi kejadian.

“Difahamkan, ketika kejadian mangsa bersama tiga rakannya mandi di sungai terbabit sebelum rakannya menyedari dia lemas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi.Katanya, tindakan operasi PKO kemudian memastikan keadaan selamat dan menyerahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) dan operasi ditamatkan pada jam 12.04 tengah hari,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi,Superintendan Hussin Zamora mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut laporan mati mengejut.

Loading...
Terkini