Tumpuan :
Nasional

Empat remaja diselamatkan polis dari dieksploitasi menjadi buruh paksa

Foto hiasan

KLANG: Serbuan ke atas sebuah kilang haram yang memproses logam terpakai di Teluk Gong, di sini, petang tadi, menyelamatkan empat remaja berusia 17 tahun yang dieksploitasi menjadi buruh paksa.

Serbuan jam 3.30 petang itu dijalankan oleh Bahagian Antipemerdagangan Manusia dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, bersama Unit MAPO Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Tenaga Kerja, Semenanjung Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah D3 ATIPSOM, JSJ Bukit Aman, SAC Fadil Marsus berkata empat mangsa itu adalah warga Myanmar.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa pemerdagangan ini mula bekerja di kilang haram yang beroperasi sejak dua tahun lalu ini antara dua hingga lima bulan.

“Dalam serbuan sama juga pihak polis turut menahan 40 warga asing termasuk 10 wanita berusia antara 21 hingga 45 tahun yang bekerja di kilang itu tanpa sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya.

Fadil berkata warga asing yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar, Nepal dan Kemboja.

“Kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) ini dikesan bekerja di kilang ini sejak setahun lima bulan lalu.

“Kita juga turut menahan dua lelaki tempatan berusia 21 dan 31 tahun yang berperanan sebagai pengurus dan pembantu pengurus kilang,” katanya.

Beliau berkata fokus operasi ini adalah mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan kepada National Guideline on Human Trafficking Indocators (NGHTI).

Katanya polis akan menjalankan siasatan di bawah Seksyen 14 Akta ATIPSOM 2007, Akta Kanak-kanak dan Orang Muda 1966, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1956/63.

D3 JSJ Bukit Aman senantiasa memantau dan menjalankan risikan bagi mengenal pasti lokasi-lokasi yang wujudnya aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di seluruh negara.

Loading...
Terkini