Tumpuan :
Nasional

Empat premis GISBH di Pulau Pinang diserbu, buku diharamkan dirampas

Oleh: Selwam Arjunan

SEBERANG PERAI: Pihak berkuasa telah menyerbu empat premis termasuk pusat jagaan dan premis perniagaan milik Global Ikhwan Sdn Bhd Holdings (GISBH) di Pulau Pinang, hari ini yang turut membawa kepada rampasan buku berkaitan Al-Arqam yang telah diharamkan.

Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,  Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata serbuan menerusi operasi bersepadu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Antara lokasi diserbu adalah Rumah Jagaan Harapan Al Mahabbah di Nibong Tebal, Rumah Permata Kasih Taman Seri Mengkuang (pusat jagaan kanak-kanak) di Kubang Semang, Kedai Kek Dan Roti Ikhwan dan BP Mart di Bandar PERDA, Bukit Mertajam.

“Hasil serbuan ke lokasi ini, pihak JHEAIPP telah merampas 6 buah kitab atau buku yang disyaki berkaitan dengan Al Arqam yang mana buku-buku ini telah diharamkan.

“Kesalahan ini berkait dengan peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Pulau Pinang (EKJSNPP 1996) iaitu Seksyen 13(1)(b) ”ada dalam miliknya apa-apa buku, risalah, dokumen atau bentuk lain rakaman sedemikian.

“Pada masa ini, siasatan masih berjalan dan pihak berkuasa sedang meneliti semua bukti yang diperoleh. Pihak kami tidak akan bertolak ansur sekiranya didapati terdapat sebarang pelanggaran undangundang atau salah laku yang melibatkan premis atau operasi GISBH,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri komited untuk memastikan bahawa setiap tindakan yang diambil adalah berasaskan fakta dan bukti yang sahih.

Ujarnya, tiada keputusan diambil secara tergesa-gesa atau berdasarkan spekulasi, oleh itu, semua pihak dinasihatkan agar tidak terlibat dalam penyebaran maklumat yang tidak tepat atau fitnah yang boleh mencetuskan kekeliruan dan ketegangan dalam masyarakat.

“Kami juga ingin mengingatkan masyarakat bahawa isu ini bukan hanya melibatkan entiti korporat, tetapi ia juga menyentuh aspek kepatuhan terhadap undang-undang dan prinsip moral yang kita junjung. Oleh itu, penting bagi semua pihak untuk mematuhi undang-undang dan beroperasi dengan integriti.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan siasatan ini dengan teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dalam memastikan isu ini diselesaikan secara adil dan saksama,” tambahnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini