Oleh: Fazli Ahmad
RAUB: Empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Raub, Pahang ditutup jam lima petang tadi selepas banjir kilat yang melanda beberapa perkampungan di daerah itu surut petang ini.
Bagaimanapun Jurucakap Sekreteriat Pengurusan Bencana Daerah Raub, Kapten (PA) Samasudin Kambade berkata, lebih 300 mangsa masih lagi ditempatkan di lima PPS di daerah terbabit.
Menurutnya, PPS ditutup petang ini membabitkan Dewan Pia yang menempatkan 20 mangsa, Dewan Kuala Gali (37 mangsa) Balairaya Kuala Keloi (17 mangsa) dan Dewan Lechar (65 mangsa).
“Sebelum itu PPS Dewan Datuk Seriwa ditutup jam sembilan pagi tadi selepas dua mangsa ditempatkan di situ telah dibenarkan pulang.” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Sementara itu, berdasarkan laman web rasmi Jabatan Pengairan dan saliran (JPS) sehingga jam enam petang tadi, enam pusat penyukat banjir di beberapa sungai utama di Pahang telah melepasi tahap bahaya dan 11 lagi melebihi tahap amaran.
Pusat Penyukat Banjir Sungai Tembeling di Kampung Bantal Seberang, Jerantut mencatatkan bacaan paras air 107.76 melebihi tahap bahaya 106 meter.
Pusat Penyukat Banjir Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan aras semasa 15.72 meter melebihi tahap bahaya 14.9 meter.
Manakala bacaan aras semasa Sungai Lembing, di Kuantan 37.83 meter juga melepasi paras bahaya 36 meter.
Dua pusat penyukat banjir di Daerah Rompin juga masih melepasi tahap bahaya.
Bacaan di Pusat Penyukat Banjir Sungai Keratong, di Jalan Kota Bahagia, Rompin ialah 11.57 meter melebihi tahap bahaya 11 meter dan Sungai Pukin 47.59 meter berbanding tahap bahaya 45 meter.