comscore
Tumpuan :
Nasional

Empat peringkat pemulihan jamin pembekalan semula air di Pulau Pinang

Oleh: Selwam Arjunan

SUNGAI DUA: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merancang empat peringkat pemulihan bagi menjamin 590,000 pengguna yang bakal terjejas dengan gangguan bekalan air pada 10 hingga 14 Januari depan mendapat semula bekalan dalam tempoh yang dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif  PBAPP, K. Pathmanathan berkata berkata jangkaan pemulihan dibuat dengan mengambil kira faktor kedekatan pengguna dengan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua yang memerlukan pembaikan segera ekoran kerosakan pada saluran paip air terawat utama.

Selain itu,  lokasi mereka yang berhampiran infrastruktur bekalan air utama seperti kolam air terawat dan rumah pam di Batu Kawan, Bukit Minyak, Bukit Dumbar dan Bukit Gedung.

Katanya, bagi peringkat pertama, 33 peratus atau 197,025 pengguna di kawasan Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara, termasuk pengguna bukan domestik utama di Butterworth dijangka akan memperoleh semula bekalan dalam tempoh 48 jam.

Peringkat kedua pula menyasarkan memulihkan bekalan dalam tempoh 72 jam bagi 495,065 atau 88 peratus pengguna di Seberang Perai Selatan dan bahagian pulau termasuk pengguna domestik utama di George Town dan Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas.

“Peringkat ketiga, PBAPP menyasarkan 99 peratus pengguna di semua kawasan terjejas di Seberang Perai dan Pulau Pinang menerima air secara beransur-ansur dalam tempoh 96 jam.

“Manakala peringkat keempat adalah pemulihan setempat untuk baki satu peratus lagi pengguna di hujung paip agihan dan kawasan lebih tinggi,” katanya pada sidang media di LRA Sungai Dua, di sini, siang tadi.

Sebelum ini, PBAPP memaklumkan 590,000 pengguna air di Pulau Pinang akan mengalami gangguan air berjadual bermula pada 6 pagi pada 10 Januari hingga 6 pagi 14 Januari 2024 melibatkan lebih 50 kawasan di Seberang Perai dan hampir keseluruhan kawasan di bahagian pulau.

Beliau turut berharap kerjasama daripada semua pengguna untuk menyimpan bekalan secukupnya, selain mengoptimumkan penggunaan air bagi melancarkan proses pemulihan.

“Inisiatif pemulihan bekalan air ini hanya boleh berjaya jika pengguna bekerjasama dengan PBAPP dengan menyimpan air yang secukupnya untuk sekurang-kurangnya 4 hari.

“Dengan kerjasama daripada pengguna kita boleh atasi cabaran ini dalam masa tersingkat,” katanya lagi.

Terdahulu Pathmanathan meninjau kerja pembaikan dua injap pada saluran paip air terawat utama yang rosak dan bocor yang menyebabkan operasi di LRA itu terpaksa dihentikan selama empat hari, selain kerja sampingan di 22 lokasi lain di seluruh Pulau Pinang.

Katanya 55 lori tangki akan dikerahkan ke kawasan terjejas secara berjadual bermula 10 Januari bagi memastikan pengguna menerima bekalan air secukupnya, selain meletakkan 60 tangki statik di kawasan tertentu.

Loading...
Terkini