Tumpuan :
Nasional

Empat pengemis OKU warga asing ditahan di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan empat warga China yang dipercayai menjalankan kegiatan mengemis di kawasan pasar malam dan premis di sekitar daerah ini.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, mereka yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) ditahan dalam satu operasi Ops Serkap yang dijalankan secara berasingan pada kelmarin dan semalam.

“Mereka yang ditahan berusia antara 36 hingga 67 tahun dan dalam operasi itu kita turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM9,000.

“Kita telah melakukan risikan selama tiga minggu dan hasilnya kita percaya kegiatan ini dilakukan secara berkumpulan dan mereka sering berpindah randah dan ia disyaki diatur oleh sindiket.

“Malah, ketika operasi dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas di sebuah terminal bas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil, hasil aduan awam dan risikan terhadap kegiatan warga asing berstatus OKU yang mencari jalan pintas dengan mengemis di premis atau lokasi strategik dalam meneruskan kelangsungan hidup mereka.

“Sikap pemurah rakyat Malaysia menyebabkan mereka cenderung untuk bertindak lebih agresif dengan mendekati orang ramai yang mengunjungi pasar malam dan premis-premis.

“Hanya bermodalkan kekurangan fizikal serta cacat anggota, pengemis warga asing ini mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Menurut beliau, semua warga asing yang ditahan dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.

“Mereka juga disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa,” jelasnya.

Pada masa sama, Mohd Rusdi berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu sindiket dan pengemis di kalangan warga asing.

“Kita menggesa supaya orang ramai tampil menyalurkan maklumat tentang pendatang asing tanpa izin (PATI) atau sebarang aktiviti warga asing yang menyalahi undang-undang.

“JIM Negeri Johor juga akan meneruskan usaha membanteras PATI di negeri ini,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini