PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandang serius berhubung siasatan terhadap pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar di Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
KPKM menerusi satu kenyataan media berkata kementerian itu sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada agensi penguatkuasaan yang bertanggungjawab supaya siasatan ke atas kes berkenaan dapat dijalankan dengan adil dan telus.
“KPKM mengambil maklum berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar di KADA.”
“Pada masa yang sama, KPKM sentiasa komited dalam usaha-usaha pencegahan rasuah dan meletakkan keutamaan terhadap tahap integriti yang tinggi dalam kalangan pegawai dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perlakuan rasuah serta amalan tidak berintegriti,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha berterusan sentiasa diambil pihak KPKM dalam membanteras sebarang bentuk salah guna kuasa, konflik kepentingan, gejala rasuah dan penyelewengan melalui penambahbaikan arahan dalaman membabitkan pelbagai gerak kerja jabatan dan agensi di bawah KPKM.
Terdahulu media melaporkan tiga pegawai kanan termasuk seorang pengurus besar sebuah agensi kerajaan yang ditahan SPRM, direman selama empat hari bermula hari ini kerana disyaki meminta dan menerima rasuah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17a Akta SPRM 2009.
Seorang lagi pegawai kanan pula disambung reman selama tiga hari bermula esok sehingga Khamis mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 selepas disyaki membuat tuntutan palsu sejak tahun lalu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.