Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Empat menteri kabinet dari GPS adakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak

 

Oleh Abu Zaidi Abu Bakar

KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof bersama tiga lagi menteri kabinet kerajaan persekutuan dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS di Pejabat Premier Sarawak di Petrajaya, di sini hari ini.

Beliau yang disertai Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang melakukan kunjungan terbabit jam 2.30 petang.

Menurut Fadillah, kunjungan terbabit bagi mendapat arah panduan daripada kepimpinan tertinggi di Sarawak  dan perhatian khusus yang perlu laksanakan  serta mengenai keutamaan yang perlu diberikan tumpuan untuk Sarawak.

Bagaimanapun, Menteri perlancongan, Datuk seri Tiong King Sing tidak dapat menyertai rombongan terbabit kerana komitmennya untuk menghadirkan diri dalam taklimat bagi agensi kementeriannya itu.

“Kunjungan hormat ini untuk kita memberikan taklimat hubung kait dengan status kerajaan perpaduan yang telah ditubuhkan hasil daripada perbincangan di kabinet.”

“Dari situ nanti kita akan berbincang dan bagaimana peranan kita daripada GPS di peringkat persekutuan dalam kerajaan perpaduan dan itu sebenarnya tujuan kami kembali, kata Fadillah pada sidang media selepas mendarat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching KIA.

Pada masa sama, beliau turut mendedahkan perjumpaan yang diadakan itu turut membincangkan mengenai Perjanjian Malaysia 1963 MA63.

Ia selepas beliau diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan  perkara-perkara berkaitan tuntutan  MA63 dalam tempoh sebulan.

Loading...
Terkini