Tumpuan :
Nasional

Empat lokasi pantai di Pulau Pangkor dikesan terhakis teruk

Foto: NSTP

LUMUT: Empat lokasi di Pulau Pangkor membabitkan jarak keseluruhan 32 kilometer dikesan mengalami hakisan pantai yang serius.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, Mohd Shamimi Mohd Tahir, berkata keempat-empat lokasi itu terletak di Teluk Nipah, Teluk Dalam, Teluk Gedung dan Tanjung Kelawai.

Katanya, lokasi berkenaan dimasukkan dalam kategori pertama yang mengalami hakisan pantai serius dan terdapat kira-kira 350 rumah nelayan di lokasi terbabit yang berisiko musnah.

“Untuk penyelesaian sementara, JPS membina tembok batu seperti di Choral Beach pada 2020 bagi menyerap impak dari ombak kuat dan mengurangkan hakisan pantai,” katanya ketika lawatan lapangan di Choral Beach, Pulau Pangkor, dekat sini, semalam.

Mengenai penyelesaian jangka panjang, Mohd Shamimi berkata, JPS kini menyediakan sebut harga (tender) bagi menambak pasir pantai di Pantai Teluk Nipah.

Sementara itu, petugas rekreasi pantai, Mohd Nor Azahari Ahmad Baddri, 40, berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan isu hakisan pantai dengan segera.

“Dahulu hakisan pantai di sini tidaklah ketara seperti sekarang. Kawasan pasir di sini dahulu lebih besar tetapi sejak 2019, hakisan semakin teruk.

“Ombak kuat di sini biasanya berlaku antara Oktober hingga Disember, namun kadang kala ia datang di luar waktu kebiasaan.

Azahari berkata, dia tiada masalah untuk berpindah jika tempat baharu yang disediakan pihak berkuasa sesuai dengan keperluan pekerjaannya.

“Perniagaan kami memerlukan tempat untuk simpan bot dan jetski. Jadi, jika boleh jangan terlalu jauh dari pantai. Kalau buat di seberang jalan di pesisir pantai ini pun sudah cukup baik,” katanya yang sudah 13 tahun bertugas sebagai `beach boy’ di Choral Beach.

Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Lestari adalah tanggungjawab sosial UTP dengan kerjasama JPS dan MPM sejak 2019 bagi menyelidik kesan hakisan pantai di Teluk Nipah, Pulau Pangkor dan memberi kesedaran kepada komuniti di pulau berkenaan mengenai isu terbabit.

Loading...
Terkini