KOTA KINABALU: Empat negeri dikenal pasti bagi pemasangan peralatan Stesen Pemantauan Air Spektrum Gamma (GSWMS) selepas pelaksanaannya dilakukan di Jeti Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata lokasi baharu dikenal pasti itu membabitkan negeri Kedah, Johor, Pahang dan Sabah
Beliau berkata, pemasangan GSWMS adalah bagi memantau sisa bahan radioaktif di dalam laut susulan pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji kuasa nuklear Fukushima Daaiichi ke Lautan Pasifik oleh Jepun, baru-baru ini.
“Selepas ini kami berhasrat untuk memasang empat lagi GSWMS di Pulau Langkawi (Kedah), Johor, Pahang dan Sandakan (Sabah) untuk kita memantau tahap radioaktif dalam laut.
“Kami menyeru agar semua jangan bimbang. Sekiranya ada apa-apa perubahan dan bahan radioaktif mencapai tahap abnormal, kami akan dapat mengesannya dengan awal.
“Di rantau (Asia Tenggara) ini, Vietnam dan Singapura sudah ada (memasang GSWMS).
Kita (Malaysia) negara ketiga di rantau ini yang memasang GSWMS dan kita akan saling berkongsi maklumat dengan semua negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan pemantauan GSWMS yang dipasang di Jeti UMS, di sini, semalam.
Mengulas mengenai GSWMS yang dipasang di Jeti UMS, Chang berkata ia yang pertama dipasang di negara sejak Jun lepas.
“Setiap peralatan GSWMS ini berharga dalam lingkungan RM600,000,” katanya.Chang turut memberi jaminan, pemasangan empat lagi GSWMS secara berperingkat akan dilakukan dengan kadar segera.
Media sebelum ini melaporkan, Jepun mula melepaskan air radioaktif yang dirawat daripada loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik biarpun rancangan itu mendapat kritikan hebat pelbagai pihak.
Beberapa negara termasuk China dan Hong Kong turut mengenakan sekatan terhadap import makanan laut dari negara matahari terbit itu.
Bagaimanapun, Jepun kekal dengan pendiriannya dan menyifatkan tindakan melepaskan air itu adalah selamat.