GEORGE TOWN: Empat rumah kedai dua tingkat sederet, termasuk bengkel motosikal, kedai kunci, stor dan premis kosong di Jalan Perak di sini, musnah dalam kebakaran malam tadi.
Pegawai Operasi Bomba Pulau Pinang Mohd Fadli Omar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 10.23 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak bergegas ke lokasi kejadian.
“(Didapati) empat unit kedai dua tingkat di situ sedang terbakar dan api marak, pihak kami terus menjalankan operasi pemadaman bagi mengawal api dari terus merebak ke beberapa premis berdekatan.
“Setiap kedai berkeluasan 300 kaki persegi dan kesemua premis tersebut musnah lebih 90%.” katanya ketika dihubungi.
Tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih disiasat, katanya. – BERNAMA