Tumpuan :
Nasional

Empat juta kenderaan dijangka masuk Johor sempena perayaan Tahun Baharu Cina

JOHOR BAHRU: Empat juta kenderaan dijangka memasuki Johor bermula Jumaat ini hingga Selasa depan sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Johor, Mohd Edir Sanip berkata, jumlah kenderaan itu akan meningkat dua kali ganda berbanding pada hari biasa.

Justeru itu operasi penguatkuasaan yang bermula hari ini sehingga 27 Januari akan dipergiatkan bagi memastikan orang ramai mematuhi peraturan jalan raya.

“Hasil perbincangan awal dengan pihak PLUS Malaysia Berhad, kita dimaklumkan peningkatan keluar masuk kenderaan dijangka dua kali ganda berbanding hari biasa.

“Jadi kita akan memastikan operasi penguatkuasaan berjalan lancar dengan penglibatan seramai 170 pegawai dan anggota daripada semua bahagian” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Operasi Tahun Baharu Cina 2023 di R&R Kempas.

Beliau berkata dalam operasi itu pihaknya akan membuat rondaan terutama melibatkan 45 hotspot kemalangan di lebuh raya dan jalan utama, dengan sebahagian besarmelibatkan daerah Johor Bahru.

Mohd Edir berkata penguatkuasaan sepanjang perayaan itu antara lain akan menumpukan tujuh kesalahan utama iaitu penggunaan telefon bimbit, tidak memakai tali pinggang keledar, memandu di lorong kanan, memotong barisan, tidak mematuhi isyarat lalu lintas, lebih muatan dan penggunaan tayar celup yang tidak mengikut piawaian.

Selain itu, katanya pemeriksaan bas di depoh dan terminal, penyamaran sebagai penumpang bas dan penguatkuasaan khas motosikal akan turut dilakukan.

“Begitu juga larangan pemanduan kenderaan barangan bermusim sempena perayaan Tahun Baharu Cina, yang mana tarikh larangan sebelum perayaan bermula pada 20 dan 21 Jan, manakala selepas perayaan pada 24 dan 25 Jan,” katanya.

Loading...
Terkini