Oleh: Siti Khadijah Jaafar
SHAH ALAM: Seorang wanita warga Australia antara empat isteri dan tiga anak Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) direman tujuh hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas individu berusia 18 hingga 55 tahun itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam, Muhamad Firdaus Abdul Rashid mengikut Seksyen 31(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007.
Seorang wanita warga Australia antara empat isteri dan tiga anak Ahli Lembaga Pengarah Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) direman tujuh hari bermula hari ini. pic.twitter.com/UgBLijlb7a
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) September 28, 2024
Peguam, Rosli Kamaruddin berkata, kesemua suspek ditahan 9 malam tadi di kawasan kediaman di Rawang, Selangor.
Terdahulu, kesemua individu yang terdiri daripada enam wanita dan seorang lelaki itu tiba di bangunan Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kira-kira jam 9.30 pagi dengan menaiki van Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Polis yang melaksanakan Op Global sejak 11 September lalu telah menyelamatkan 572 kanak-kanak dan remaja yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi syarikat itu.
Setakat ini, lebih 300 individu, termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan.
Pelbagai jenis buku, dokumen dan gambar berkaitan dengan ajaran Al-Arqam serta GISBH juga dirampas dalam operasi yang telah memasuki fasa ke-empat itu.
Sejumlah 35 kertas siasatan juga telah dibuka sejak Op Global bermula selain 138 akaun bank mengandungi dana bernilai RM882,795 milik GISB dibekukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.