KUALA LUMPUR: Empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan yang dipercayai ditinggalkan di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah (MDPT), Seri Iskandar, Perak semalam telah dibawa ke hospital bagi pemeriksaan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata mereka dibawa ke hospital oleh pegawai kementeriannya.
“Setelah dibawa ke hospital, pihak kementerian masih perlu mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk membawa kesemua kanak-kanak itu ke institusi di bawah kementerian. Mereka kini dalam jagaan baik,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita di sini hari ini.
Beliau turut berterima kasih kepada orang ramai yang berkongsikan maklumat sekali gus membolehkan kementeriannya bertindak segera terhadap kes berkenaan.
Terdahulu, empat beradik yang terdiri daripada dua lelaki berusia 11 dan 3 tahun, bayi lelaki berusia 10 bulan serta kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun ditemukan ditinggalkan di kompleks berkenaan.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Hafezul Helmi Hamzah berkata maklumat berhubung kejadian itu diterima melalui Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah sekitar 5.39 petang.– BERNAMA