![](https://media.buletintv3.my/2024/08/4Mg8Ejz5-BTV3-NEW-.jpg)
GUA MUSANG: TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) memperuntukkan kira-kira RM 10 juta bagi membayar pampasan kepada penduduk Orang Asli yang terlibat dengan pembinaan Projek Hidro Elektrik Nenggiri yang membabitkan kerosakan hasil tanaman dan ladang mereka.
Pengarah Urusannya, Ir Muhamad Nazri Pazil berkata, jumlah pampasan itu membabitkan 245 keluarga yang terlibat dalam bentuk kewangan.
“Selain pampasan dari segi kewangan, kami juga menyediakan pampasan dalam bentuk barangan iaitu pembinaan penempatan baharu kepada penduduk di sini dari segi memberi rumah, dusun dan ladang getah termasuklah insfrastruktur yang diperlukan seperti sekolah, surau, bekalan elektrik, bekalan air.
“Pembinaan penempatan ini sedang rancak dijalankan, setakat ini status kemajuan adalah 30 peratus, kita dijangkakan penempatan ini akan diduduki pada pertengahan 2026,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perhargaan dan Kerjasama Strategik Bersama Orang Asli Pos Tohoi dan Pos Pulat, di Pos Tohoi, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pampasan dalam bentuk kewangan akan diberikan secara berperingkat kepada lebih 245 keluarga yang terlibat.
Katanya, selepas berpindah, keluarga yang terlibat juga akan menerima elaun sara hidup selama lima tahun sehingga kebun getah mengeluarkan hasil.
“Kita dah buat dua pembayaran pampasan pada 9 dan 14 Ogos ini. Seterusnya nanti apabila di penempatan baharu kita akan ada lagi pampasan bantuan sara hidup dan juga elaun perpindahan.
“Ini semua sudah dipersetujui bila kita berbincang bersama penduduk dan juga dengan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Kerajaan Negeri.
“Pampasan diberi adalah pelbagai, sekarang diberi pampasan atas kerugian dengan tanah. Nanti apabila mereka berpindah, mereka akan dapat bantuan sara hidup sehingga lima tahun,” katanya.
Manakala bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pulat, Liman Ahong, berkata beliau sangat berpuas hati dengan kemajuan projek pembinaan penempatan baharu yang akan diduduki penduduk Pos Pulat.
“Saya sudah dibawa melihat tapak projek penempatan baharu untuk penduduk Pos Pulat dan sangat berpuas hati dengan kemajuan projek.
“Penempatan baharu kami tidak jauh dari penempatan asal kerana apabila berada dekat dengan kawasan perkampungan lama kami masih boleh mengekalkan pekerjaan tradisi iaitu mencari hasil hutan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.