GEORGETOWN: Operasi pembenihan awan di dua kawasan tadahan air di Pulau Pinang dijangka dilakukan bermula akhir bulan ini berikutan empangan berkenaan semakin menyusut.
Kadar efektif air di empangan Air Itam dilaporkan menyusut lagi kepada 44.8 peratus berbanding 46.1 peratus Isnin lalu, manakala empangan Teluk Bahang merekodkan penyusutan daripada 49.8 peratus kepada 48.6 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir K Pathmanathan, berkata kadar efektif kedua-dua empangan itu masing-masing 82.5 peratus dan 64 peratus pada 1 Januari lalu, namun kini menyusut antara 37.7 peratus dan 15.4 peratus disebabkan taburan hujan yang rendah.
Beliau berkata, operasi pembenihan awan akan dilakukan dengan bantuan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mulai akhir bulan ini.
“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengesyorkan jangka masa dari 29 April hingga 7 Mei untuk gelombang pertama operasi pembenihan awan yang akan dijalankan di Pulau Pinang bagi tahun ini.
“Keadaan cuaca harus sesuai untuk memaksimumkan kesan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan lebat di kedua-dua kawasan tadahan air berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Kerajaan Pulau Pinang meluluskan peruntukan RM400,000 bagi membiayai operasi pembenihan awan di negeri itu.
Bagaimanapun, tiada syarikat daripada sektor swasta yang dapat memenuhi kriteria dan syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sehingga bantuan daripada Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NADMA) diperlukan.
“Dalam hal ini, ia akan mengambil masa beberapa hari, selepas misi pembenihan awan TUDM dijalankan, untuk hujan berlaku dan air hujan mengalir ke empangan.
Pathmanathan menggesa penduduk di negeri ini mengurangkan penggunaan air harian mereka dengan mengamalkan langkah penjimatan seperti disyorkan.