GEORGE TOWN: Kapasiti efektif Empangan Air Itam di sini, terus mengalami penyusutan yang agak membimbangkan kepada 33.7 peratus setakat jam 2 petang hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), K Pathmanathan berkata pihaknya mengambil maklum perkembangan terbaharu itu dan mengesahkan kapasiti empangan tersebut telah melampaui Tahap Amaran Dua sejak semalam.
“PBAPP telah mengusulkan permohonan pembenihan awan dan telah mengadakan perbincangan bersama pihak Bahagian Kawal Selia Air (BKSA) Pulau Pinang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Tambah Pathmanathan, cadangan lain akan dimuktamadkan selepas kerja-kerja ‘shutdown’ (di Sungai Perai) selesai sepenuhnya.
Sebagai rekod, tahap waspada pertama pada kadar 50 peratus, tahap kedua 40 peratus manakala tahap ketiga ialah pada paras 30 peratus dan ke bawah.
PBAPP pada ketika ini sedang memberi tumpuan terhadap kerja-kerja fizikal pengalihan saluran paip di Sungai Perai, dekat sini yang dijadual bermula 11.30 malam ini yang dijangka selesai jam 2 petang esok.
Empangan Air Itam merekodkan kapasiti efektif 83 peratus, 1 Disember lalu namun insiden paip pecah di Sungai Perai bulan lalu menyebabkan penggunaannya ditingkatkan bagi menampung kegunaan penduduk terjejas menyebabkan paras air menyusut kepada 66.7 peratus setakat 5 Januari lalu.
Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dilaporkan berkata rekod pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Air Itam yang digunakan ketika krisis itu berlaku adalah sebanyak 40 juta liter sehari (JLH) berbanding 22 JLH pada hari biasa.
Penyusutan itu turut didorong akibat cuaca kering ketika ini dan taburan hujan di kawasan berkenaan rendah.
Empangan Air Itam membekalkan air kepada kira-kira 170,000 penduduk antaranya meliputi kawasan Air Itam, Paya Terubong dan Jalan Masjid Negeri di bahagian pulau.