Tumpuan :
Nasional

Empangan Air Itam makin kering

Kapasiti empangan Air Itam kurang 40% akibat cuaca panas selain peningkatan permintaan pada Tahun Baharu Cina dijangka memburukkan lagi situasi. -Foto: PBAPP

GEORGE TOWN: Krisis bekalan air mungkin dihadapi kawasan Air Itam susulan kapasiti empangannya dijangka hanya bertahan sebulan lebih sahaja.

Ahad lalu, paras air empangan itu menurun 39.4% apabila berlaku peningkatan pengepaman bagi mengimbangi kebocoran akibat paip pecah di Butterworth. Empangan itu pada paras 67% pada 6 Januari berbanding 80% sebulan lalu.

Empangan berkenaan semakin terjejas memandangkan cuaca kering ketika ini, selain pertambahan permintaan pada musim perayaan Tahun Baharu Cina, merujuk data terdahulu daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Seramai 170,000 penduduk bergantung kepada Empangan Air Itam, Paya Terubong, dan sebahagian Green Lane di bahagian pulau.

PBAPP memberitahu FMT pihaknya telah memohon dilakukan pembenihan awan di empangan berkenaan.

“Kapasiti empangan telah mencapai tahap 2 waspada dengan kapasiti efektif pada kadar 39.37%. Kami sedang berurusan dengan kerajaan negeri bagi melaksanakan pembenihan awan menjelang peralihan monsun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP K Pathmanathan.

Tahap waspada pertama pada kadar 50%, tahap kedua 40%, dan tahap ketiga dan amaran terakhir 30%.

Walaupun berdepan cabaran, Empangan Air Itam terbukti kekal bertahan sejak dua bulan lalu, mengurangkan kesan di kawasan Air Itam akibat gangguan bekalan berlaku di bahagian lain di negeri ini bagi kerja baik pulih dan naik taraf Loji Rawatan Air Sungai Dua dan 22 kawasan lain.

Empangan berkenaan berkapasiti 83% pada 1 Dis, sebelum paip di Butterworth pecah. Bagaimanapun, sebagai tindak balas kecemasan susulan kebocoran itu, pengeluaran air empangan meningkat dua kali ganda daripada 22 juta kepada 40 juta liter sehari, menjurus penurunan daripada 67%, pada 6 Jan.

Presiden Water Watch Penang, Chan Ngai Weng, berkata sumber air alternatif sepatutnya disalur ke Empangan Air Itam.

“Saya tidak pasti sama ada PBAPP telah menghubungkan bekalan air daripada sumber lain dari Empangan Teluk Bahang dan Loji Rawatan Air Sungai Muda. Jika tidak, mungkin tiba masa berbuat demikian,” katanya.

Chan, profesor dalam kajian air dari Universiti Sains Malaysia, berkata kebiasaannya sambutan Tahun Baharu Cina berlaku pada cuaca kering, sambil menyatakan keadaan itu “berlarutan berbulan lamanya” kesan perubahan iklim.

“Walaupun kita perlu waspada, tidak ada guna sekadar bimbang sahaja. Orang awam perlu mengambil langkah proaktif menjadikan mereka berdaya tahan bagi penggunaan air ketika cuaca kering atau gangguan bekalan,” katanya.

Katanya, orang awam sepatutnya menyediakan tangki simpanan dan sistem penyimpanan air hujan, selain menggunakan kelengkapan cekap air.

Chan berkata, pihak berkuasa juga jangan terlalu bergantung kepada pembenihan awam kerana ketidaktentuan alam dan risiko tidak dijangka seperti banjir di kawasan persekitaran.

“Jika pembenihan awan berjaya sekalipun, sebarang perubahan kelajuan angin akan mengalih haluan awan dan hujan di kawasan lain,” katanya.-FMT

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini