comscore
Tumpuan :
Nasional

Elemen TVET diperkenal kepada murid Tahun Satu pada 2027

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan elemen Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bermula dari Tahun Satu di sekolah rendah melalui Kurikulum Persekolahan 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata murid sekolah rendah akan diperkenalkan dengan elemen TVET menerusi pembelajaran bersepadu yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu dalam bidang sains, teknologi, digital, seni visual, muzik dan pendidikan kesihatan.

“Seterusnya bagi murid di tahun lima dan tahun enam, mereka akan mempelajari pembelajaran asas disiplin ilmu TVET seperti teknologi, sains rumah tangga, kejuruteraan, pengaturcaraan dan pertanian.

“Pembelajaran dilaksanakan berasaskan projek yang membolehkan murid mengetahui, memahami dan meneroka aplikasi teknologi dan digital dalam pelbagai bidang,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) sama ada KPM berhasrat memperkenalkan laluan program TVET seawal usia tingkatan satu bagi memberi peluang kepada pelajar memilih bidang kemahiran yang mereka minati.

Kah Woh berkata, kandungan, kemahiran dan nilai daripada pelbagai bidang teknologi dan digital akan dikembangkan lagi kepada murid di peringkat menengah rendah iaitu tingkatan satu, dua dan tiga bagi mengenali potensi diri, seterusnya mendorong minat mereka dalam bidang TVET.

“KPM yakin, melalui inisiatif yang dilaksanakan mampu memberi pendedahan awal dan memberi peluang kepada murid memilih bidang TVET selepas tamat pendidikan menengah rendah iaitu tamat tingkatan tiga,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini