Tumpuan :
Nasional

Elak pembakaran terbuka ketika cuaca kering dan panas

KUCHING: Orang Ramai diingatkan untuk tidak melakukan sebarang bentuk pembakaran terbuka ketika musim panas dan kering sedang melanda Sarawak.

Tindakan itu bagi mengelakkan berlakunya insiden kebakaran belukar atau hutan, sekaligus menyumbang kepada keadaan kualiti udara yang tidak sihat.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, berdasarkan laporan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Sarawak dijangka mengalami cuaca panas dan kering sehingga Ogos ini dengan peningkatan purata suhu di seluruh negeri berkenaan.

Katanya, beberapa hari lalu negeri itu turut merekodkan Indek Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat melebihi angka 50.

Justeru beliau menggesa masyarakat umum untuk melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika terdapat insiden pembakaran terbuka.

“Mereka (NREB) akan mengawasi mana-mana pembakaran terbuka yang berlaku dan akan diambil tindakan jika keadaan memerlukan mereka untuk berbuat demikian.”

“Pada masa sama, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan menguatkuasakan undang-undang dan tumpuan kita adalah kepada kawasan-kawasan yang sentiasa berlaku kebakaran pada musim kemarau,” katanya.

Beliau ditemui ketika menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini.

Douglas Uggah yang juga Penegrusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam pada itu turut menasihati orang ramai untuk tidak leka ketika berhari raya memandangkan terdapat penularan varian baharu COVID-19 yang ditemui, baru-baru ini.

Malah, beliau turut menggesa orang ramai untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan segera di klinik berdekatan jika terdapat simptom seperti demam panas dan batuk.

“Sekarang sudah ada ubat bagi merawat COVID-19, jadi jika anda dikesan telah dijangkiti oleh COVID-19 , ia akan membantu untuk anda sembuh dengan cepat,” katanya.

Loading...
Terkini