KOTA BHARU: Rakyat tempatan yang melancong ke Thailand dinasihatkan tidak mengunjungi lokasi berisiko susulan ketidaktentuan aspek keselamatan di negara itu kebelakangan ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, ia berikutan beberapa siri serangan dan letupan bom dengan kejadian terbaharu di Narathiwat yang mengorbankan dua beranak, 14 Januari lalu.
“Orang ramai suka ke Thailand kerana menganggapnya seperti melancong dan menjadi tradisi.
“Ketika di sana (Thailand), saya minta semua berhati-hati, banyak letupan (bom) dan kita tidak tahu bila serta di mana akan berlaku.
“Kejadian sebegini sudah berlaku dua kali (tahun ini) dan saya nasihatkan semua berwaspada dan jangan kunjungi tempat berisiko,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam himpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia mematuhi peraturan negara jiran supaya tidak menimbulkan masalah kepada kerajaan kedua-dua negara.
Pada 14 Januari lalu, dua mangsa yang juga anggota polis peronda maut dalam letupan bom di Jalan Si Sakhon, Narathiwat.
Siasatan pihak berkuasa Thailand mendapati kereta dinaiki kedua-dua anggota polis itu diserang dengan bom sebelum mangsa ditembak dari jarak dekat manakala suspek turut melarikan dua pistol milik mangsa.
Sebelum itu, seorang warga Malaysia dan enam anggota sukarelawan pertahanan cedera dalam insiden letupan bom berhampiran Balai Polis Daerah Mueang Pattani, Wilayah Pattani, selatan Thailand pada 12 Januari.
Insiden dilaporkan kira-kira jam 8 pagi selepas majlis perbarisan anggota polis di balai berkenaan dan siasatan awal mendapati bom terbabit dipercayai dipasang pada sebuah motosikal yang diletak berhampiran balai polis.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.