Oleh: Zahir Senapiah.
SEGAMAT: Gara-gara mengelak haiwan melintas jalan, dua rakan berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terbabas lalu merempuh sebuah kedai di Jalan Muar-Segamat dekat Kampung Lubuk Batu, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superitanden Ahmad Zamry Marinsah berkata, kejadian berlaku jam 6.15 petang ketika mangsa dan rakannya yang menaiki produa Myvi dalam perjalanan ke Segamat.
Katanya, siasatan awal mendapati, pemandu kereta berumur 25 tahun telah gagal mengawal kenderaannya kerana mengelak haiwan melintas, lalu melanggar tebing rumput bahu jalan kanan sebelum merempuh tiang anjung bumbung serta bahagian rak simen depan kedai berkenaan”, katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pemandu dan penumpang kereta yang berumur 22 tahun tidak mengalami kecederaan.
Manakala pemilik kedai juga terselamat kerana berada di bahagian belakang kedai dan tiada pelanggan ketika kemalangan berlaku.
Justeru, Ahmad Zamry memohon saksi awam yang mempunyai maklumat untuk menyalurkannya kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Segamat (BSPTD) ditalian 07-9325811.
Kes disiasat di bawah Rule 10 LN 166/59 gagal mengawal kenderaan.