KLANG: Cuba mengelak daripada ditahan polis, seorang penunggang motosikal bertindak merempuh kerusi dan meja di hadapan kedai makan di Persiaran Raja Muda Musa, Pelabuhan Klang.
Kejadian awal pagi Isnin itu tular di media sosial, dengan polis turut membuat laporan untuk siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, kejadian dilapor pada 3 pagi, ketika Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjalankan Operasi Ambang Tahun Baharu 2024.
Katanya, anggota ditempatkan di persimpangan tertentu bagi tujuan penutupan jalan supaya kumpulan samseng jalanan tidak dapat meloloskan diri.
“Semasa serbuan dijalankan terdapat samseng jalanan bersaing semasa sendiri untuk menguji kelajuan motosikal masing-masing, dan kemudiannya cuba melarikan diri daripada ditahan.
“Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 ditunggang laju dan berbahaya oleh seorang lelaki cuba dihalang, namun dia berjaya meloloskan diri.
“Penunggang tersebut turut merempuh kerusi dan meja pelanggan yang berada di hadapan sebuah restoran,” katanya semalam.
Beliau berkata, tiada sebarang kecederaan dilapor berlaku membabitkan orang awam mahupun pihak polis yang bertugas.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu siasatan.