Oleh: Syafiqah Damanhuri
KLUANG: Pekebun kecil disaran untuk tidak melakukan pembelian dalam talian benih sawit daripada pihak yang tidak berdaftar.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengatakan terdapat sebilangan mereka dalam kumpulan itu yang menanam tanaman komoditi itu namun pokoknya tidak mengeluarkan hasil.
“Benih sawit ini kalau kita salah guna benih, kita cuma dapat tahu dia punya kesilapan tu dalam 3 tahun. Tempoh tu baru tahu kita silap.
“Jadi kesilapan ini berlaku apabila dia membeli benih kepada unauthorized supplier. Sebab itu saya selalu tekankan mana mana pekebun kecil menanam semula benih ini kita mesti dapat daripada rujukan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Buletin TV3 semasa dalam lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan MPOB di sini.
“MPOB ada senarai syarikat yang membuat benih, mengeluarkan benih yang ada kepastian, bahawa ada benih telah diuji sepenuhnya.
“Jadi sebab itu kita janganlah beli benih melalui dalam talian. Sekarang anak benih itu online pun ada jual. Jadi jangan beli online sebab kita tak boleh biar bila silap itu 3 tahun baru tahu, baru nampak.” Jelasnya.
Justeru, Datuk Seri Johari mencadangkan MPOB untuk memastikan mereka yang menjadi pembekal benih, perlu berdaftar.
Terdahulu, beliau turut menyaksikan demonstrasi pendebungaan terkawal pokok sawit dura kacuk pisifera.
Proses itu bagi menghasil benih pokok sawit komersial berkualiti tinggi.
Beliau juga turut meninjau hasil penanaman tumbuhan itu di pusat penyelidikan berkenaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.