comscore
Tumpuan :
Nasional

Elak babi hutan, lima sahabat nyaris maut

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Gara-gara cuba mengelak daripada melanggar seekor babi hutan yang melintas, lima sahabat nyaris maut apabila kereta yang dinaiki terbabas dan melanggar tiang elektrik dan penghadang jalan sebelum masuk ke dalam longkang di Jalan Melaka Pindah, Alor Gajah di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, kelima-lima lelaki berusia 22 tahun itu cedera di kepala, tangan, kaki dan badan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Arshad Abu berkata, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta Proton Preve terbabit sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.

Sebelum kejadian itu, kata beliau, kereta yang dipandu seorang juruteknik itu dalam perjalanan dari arah Simpang Ampat ke Krubong, Melaka.

“Setiba di tempat kejadian, pemandu kereta ternampak seekor binatang dipercayai babi hutan melintas di hadapan kenderaannya lalu dia cuba membrek dan mengelak daripada melanggar haiwan itu.

“Disebabkan permukaan jalan yang  basah dan licin, pemandu kereta terbabit hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan melanggar tiang elektrik serta penghadang jalan lalu masuk ke dalam longkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Superitendan Arshad, kesemua penumpang dan pemandu kereta dikeluarkan oleh bomba sebelum dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut.

Katanya, pemandu kereta terbabit telah hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk membuat laporan.

Loading...
Terkini