Tumpuan :
Nasional

Elak aktiviti air di pantai, jangan abai amaran bendera merah

 

Masih ada pengunjung melakukan aktiviti air di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan. – Foto NSTP

KUANTAN: Segelintir pengunjung di Pantai Teluk Cempedak tidak mengendahkan amaran keselamatan apabila tetap melakukan aktiviti air walaupun tiga bendera merah telah dikibarkan sebagai tanda bahaya.

Keadaan ombak besar dan angin kencang akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang berterusan seolah-olah tidak menakutkan mereka, meskipun pihak berkuasa sering mengingatkan agar keselamatan diutamakan.

Tinjauan hari ini mendapati, meskipun cuaca buruk melanda, masih ada pengunjung yang berani menceburi laut, mengabaikan risiko bahaya yang boleh mengancam nyawa.

Pada masa sama, ada bapa yang membawa anak bermain air yang boleh mengundang kejadian tidak diingini jika tersilap langkah.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Che Adam A Rahman, menasihati pengunjung pantai bukan sahaja di daerah ini, malah di Pekan dan Rompin supaya peka dengan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Katanya, sebaiknya pengunjung tidak berada di tepi pantai terutama melakukan aktiviti air untuk mengelak daripada berlaku kejadian tidak diingini.

“MTL masih belum lagi berakhir kerana dijangka berterusan sehingga Mac depan. Dalam keadaan ombak besar ini, keselamatan perlu diutamakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini