PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas penganugerahan penghormatan tertinggi Peru, El Sol Del Peru.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata penganugerahan itu adalah satu penghormatan dan kebanggaan, bukan sahaja kepada Perdana Menteri, malah Malaysia.
“Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri di atas anugerah El Sol Del Peru yang beliau terima.
“Ia antara anugerah tertinggi negara Peru, jadi ini satu penghormatan dan juga satu kebanggaan, bukan hanya untuk Perdana Menteri, tetapi juga untuk negara kita,” katanya pada sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Penganugerahan El Sol Del Peru yang bermaksud Mentari Peru, menjadikannya satu lagi pengiktirafan antarabangsa kepada Malaysia.
Anugerah berprestij itu penghormatan sivil tertua di benua Amerika, yang diwujudkan pada 1821 selepas Peru mencapai kemerdekaan dari Sepanyol, menjadikannya simbol bersejarah dalam diplomasi antarabangsa.
Anugerah berprestij ‘Mentari Peru’ berkenaan disampaikan Presiden Peru, Dina Ercilia Boluarte Zegarra ketika pertemuan dengan Anwar yang dalam di Istana Kerajaan Peru.
Pengiktirafan itu, menurut Perdana Menteri, satu penghormatan yang sangat bermakna dan berharap anugerah itu akan menjadi titik permulaan baharu dalam hubungan diplomatik antara Malaysia dan Peru.
Anugerah berkenaan juga menjadi lambang kepada pencapaian diplomatik negara dan komitmen Malaysia dalam mempromosikan kerjasama antarabangsa yang lebih erat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.