comscore
Tumpuan :
Nasional

El Nino: Sembilan kawasan di Langkawi hadapi gangguan bekalan air

Dataran Lang di Pekan Kuah, Langkawi. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) menyenaraikan sembilan kawasan termasuk zon tumpuan pelancong di pulau ini kini berdepan gangguan bekalan air akibat kesan fenomena El Nino.

Kawasan itu adalah Pekan Kuah, Kisap, Kilim, Perana, Bayas, Ulu Melaka, Temoyong, Pantai Cenang, Pantai Tengah dan kawasan sekitar.

Sada menerusi satu kenyataan berkata musim kemarau panjang dan kering atau nama saintifiknya fenomena El Nino sedang melanda negara, khususnya di utara semenanjung Malaysia.

“Susulan itu, paras air Sungai Melaka di Pulau Langkawi semakin menyusut dan secara tidak langsung memberi kesukaran kepada Sada untuk memenuhi permintaan air terawat,” kata kenyataan itu.

Menurut Sada, permintaan bekalan air terawat oleh pengguna semakin meningkat, khususnya menjelang cuti perayaan sambutan Tahun Baharu Cina dan persekolahan tidak lama lagi.

Pada masa sama, Sada berkata produksi pengeluaran semua Loji Rawatan Air (LRA) di Pulau Langkawi juga menunjukkan trend penurunan dan dijangka akan berlarutan sehingga paras Sungai Melaka kembali normal.

Tambahnya, keadaan lebih terkesan apabila berlaku pertambahan lokasi kebocoran paip dasar laut yang menyalurkan bekalan air terawat ke Pulau Langkawi dari LRA Sungai Baru, Perlis yang memberi kesan langsung kepada pengagihan air.

Sada menasihatkan pengguna di Pulau Langkawi lebih berhemah ketika menggunakan air untuk aktiviti harian sepanjang musim kemarau ini yang dijangka berlanjutan bagi menjamin bekalan air tidak terganggu.

Untuk sebarang aduan atau pertanyaan, pengguna boleh menghubungi talian hotline di1300 88 0017 dan Bilik Gerakan Langkawi di 04-9610546.

Maklumat berkenaan gangguan bekalan air itu turut dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Sada melalui Facebook dan TikTok serta laman sesawang rasmi Sada di www.sada.com.my.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini