SHAH ALAM: Selangor mempunyai simpanan bekalan air yang dapat menampung keperluan penduduk untuk tempoh kira-kira sembilan bulan bagi menghadapi fenomena El Nino yang sedang melanda negara.
EXCO Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata empangan di negeri itu mempunyai simpanan air untuk keperluan pengguna selama enam bulan manakala kolam air takungan untuk tempoh tiga bulan.
“Kita kini dalam proses untuk memastikan semua bekalan itu bersambung bagi membolehkan kita dapat menggunakan air tersebut apabila diperlukan,” katanya kepada media ketika mengadakan lawatan kerja ke tapak projek pemuliharaan Sungai Klang, di sini hari ini.
Beliau berkata usaha kerajaan Selangor itu sejajar dengan kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) yang menjangkakan kemarau akan melanda negara pada 2026.
“Kita merancang dan buat persiapan, kemarau terakhir melanda negara adalah pada 2014 dan kitaran fenomena itu akan berulang dan kita perlu melakukan persiapan dan berharap ia tidak teruk,” katanya.
Mengenai lawatan beliau hari ini, Izham berkata projek tersebut merangkumi kerja-kerja pendalaman dan pelebaran 56 kilometer Sungai Klang serta pengukuhan tanah tebing dan pembinaan permatang yang dijangka siap pada 2028 melibatkan kos RM700 juta.
Katanya usaha itu berdepan cabaran ekoran timbunan sampah-sarap dan mendapan yang terkumpul di dasar sungai sedalam dua hingga tiga meter, berbanding empat meter ketinggian sungai yang menyukarkan operasi pendalaman dan pelebaran sungai.
“Barangan buangan besar seperti tayar dan perabot serta plastik menjejaskan keadaan teknikal jentera pengorek dan menyebabkan gangguan terhadap operasi hariannya. Kami berharap dengan penambahan jentera Pengorek Sedut Pemotong masalah ini dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Izham berkata projek tersebut menyasarkan untuk meningkatkan kapasiti Sungai Klang sebanyak 40 peratus apabila siap sepenuhnya.–BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.