OIeh: Nini Shahira Anuar
PETALING JAYA: Masyarakat perlu lebih peka dan memberikan lebih perhatian terhadap fenomena El-Nino yang dijangka meningkat pada penghujung tahun ini.
Menurut Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Profesor Dr Mohd Shahrul Mohd Nazir, fenomena tersebut merupakan satu kejadian semula jadi yang tidak dapat dielakkan daripada berlaku.
Menerusi kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) pada 4 Julai lalu, fenomena itu dijangka meningkat sehingga awal tahun 2024, dengan kebarangkalian melebihi 90 peratus.
Menurut Prof Mohd Shahrul, pelbagai impak dari fenomena itu perlu diambil kira terutamanya dari segi kesihatan awam.
“Kebiasaannya kalau El-Nino berlaku, jerebu pasti akan berlaku akibat suhu panas yang melampau, ini akan mengakibatkan pembakaran hutan, pembakaran tanah gambut dan sebagainya,” katanya kepada BuletinTV3.
Tambahnya, antara perkara yang perlu diimbangkan adalah partikel halus PM2.5 yang terhasil daripada jerebu.
Ini kerana ia dapat dihirup masuk tanpa tersangkut di rongga hidung, seterusnya masuk ke paru-paru, sekali gus menjejaskan kesihatan manusia.
“Jerebu juga akan memberi implikasi kepada sektor pertanian. Asap jerebu yang meresap ke daun atau tumbuhan akan menjejaskan proses fotosintesis,” katanya.
Situasi itu pastinya akan menganggu eko sistem terutamanya yang melibatkan penanaman buah-buahan dan sayuran.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, penghasilan sayur-sayuran akan mengalami kekurangan hasil kira-kira 30 peratus.
Bagaimanapun jelasnya, keadaan itu tidak akan menjejaskan bekalan sayur-sayuran dalam negara.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan akan sentiasa menyediakan langkah bagi membantu golongan petani andai berlakunya kemarau yang berpanjangan.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan ada insentif yang disediakan jika golongan petani terjejas. Mungkin dari segi bantuan bencana dan sebagainya.
Justeru tambahnya, masyarakat perlu lebih cakna mengenai ilmu alam sekitar supaya sentiasa bersedia menghadapi fenomena berkenaan.