KOTA BHARU: Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan sehingga Julai.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata terdapat juga ramalan mengatakan tahun ini adalah tahun paling panas selepas 1998.
Beberapa negeri seperti Kelantan, Perlis dan Kedah mengalami cuaca yang lebih panas berbanding negeri lain.
“Kalau ikut trend biasa berdasarkan laporan diterima, sepatutnya sudah mula beralih dan hujan akan datang, namun keadaan ini mungkin sebulan atau dua bulan lagi.”
“Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan memantau perkara ini,” katanya.
Berikutan itu, menurut Nik Nazmi pihaknya akan memantau tentang jerebu dalam negara dan rentas sempadan.
Jelas Nik Nazmi, pihaknya juga bekerjasama dengan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk memantau paras air dan mungkin terpaksa membuat pembenihan awan sekiranya perlu.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kampung Angkat Madani di Kampung Aril, Melor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau mengesahkan bahawa pihaknya ada menerima permintaan dari Kelantan dan syarikat air untuk melakukan pembenihan awan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu akan diputuskan oleh METMalaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).
“Pembenihan awan tidak boleh dibuat suka-suka sebaliknya perlu memenuhi syarat tertentu. Malah kos juga adalah tinggi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.