comscore
Tumpuan :
Nasional

Eksport produk makanan laut guna nama Jabatan Perkhidmatan Veterinar palsu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama dan cap jabatan itu.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pihaknya menerima makluman daripada pihak berkuasa Turkiye mengenai dokumen Sijil Kesihatan Veterinar (SKV) yang menggunakan nama dan cap DVS yang mengiringi produk makanan laut ke negara terbabit.

“Hasil siasatan mendapati bahawa SKV tersebut tidak dikeluarkan oleh DVS dan nama, cap serta tandatangan pegawai telah dipalsukan bagi tujuan pengeksportan produk makanan laut ke negara berkenaan.

“Perlu dijelaskan bahawa peruntukan kuasa di bawah Akta Binatang 1953 tidak merangkumi produk makanan laut. Oleh itu, DVS tidak mengeluarkan SKV bagi produk ini,” katanya.

Menurut DVS, adalah menjadi tanggungjawab pengeksport untuk mendapatkan sijil kesihatan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

Susulan itu, DVS memandang serius perkara tersebut kerana pemalsuan dokumen SKV boleh memberi implikasi negatif kepada reputasi jabatan tersebut, negara dan hubungan dagangan antarabangsa.

“Mana-mana individu yang melakukan pemalsuan atau membuat dokumen palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 463 atau 464 Kanun Keseksaan [Akta 574],” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini