KUALA LUMPUR: Eksport kayu di negara ini menunjukkan perkembangan positif selepas meningkat sebanyak 8.9 peratus dari Januari hingga Ogos 2024 berbanding tahun sebelumnya.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata pertumbuhan itu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran kayu global, dengan perabot kayu menjadi produk eksport terbesar.
Beliau berkata, ‘Ekspo Kayu Malaysia’ (MWE) kali ini bersedia menjadi platform utama untuk mempamerkan kepakaran dan kualiti hasil kerja tangan Malaysia yang sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Menganjurkan program ini pada 2025 amat bertepatan dengan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan ia membolehkan MWE memainkan peranan lebih menonjol untuk menghubungkan perniagaan berasaskan kayu di ASEAN serta mendorong inovasi dan kerjasama.
“Kini, pengguna di seluruh dunia semakin menuntut produk yang dihasilkan secara lestari. Begitu juga, Malaysia komited sepenuhnya terhadap agenda kelestarian global dengan berjanji untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus tanah negara di bawah litupan hutan,” katanya semasa Majlis Pelancaran MWE 2025, di sini, hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalannya, Chan Foong Hin.
Johari berkata, disebabkan daya tarikan dalam pembinaan hijau dan reka bentuk dalaman, kayu kini mengalami pertumbuhan pesat yang didorong oleh permintaan terhadap bahan binaan lestari.
“Industri kini mencari penyelesaian yang menggabungkan ketahanan dengan pematuhan terhadap alam sekitar. Oleh itu, pengurusan hutan secara lestari akan memainkan peranan penting dalam menyediakan produk kayu mesra alam.
“Sehingga Oktober 2024, sebanyak 40 Unit Pengurusan Hutan (FMU) yang meliputi kawasan seluas 6.52 juta hektar telah diperakui di bawah Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS), manakala sebanyak 370 syarikat kayu telah dianugerahkan Sijil Perakuan Pematuhan (CoC), yang melayakkan mereka mempamerkan logo Program Pengesahan Pensijilan Hutan (PEFC) apabila mengeksport produk kayu yang diperakui MTCS,” katanya.
Sementara itu, Foong Hin berkata, MWE 2025 menyasarkan angka jualan antara RM150 hingga RM200 juta, dengan sasaran pertumbuhan dua angka yang konservatif.
“Sasaran ini ditetapkan selepas prestasi kukuh tahun lalu, yang mencatatkan jualan keseluruhan sebanyak RM320.78 juta, hasil gabungan dua tahun,” katanya.
MWE 2025 dijadualkan berlangsung dari 10 hingga 12 November tahun depan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, menandakan satu lagi pencapaian penting bagi industri kayu di rantau ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.