Tumpuan :
Nasional

Eksplorasi REE bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Aspek eksplorasi unsur nadi bumi (REE) adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataan memaklumkan, bagi Kedah, ia adalah aktiviti yang dikawal di bawah Seksyen 41, Enakmen Mineral Kedah 2004 melalui Lesen Mencari Gali dan Lesen Menjelajah.

Pada masa sama, NRES ketika ini tidak berhasrat untuk membangunkan prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan pengeksportan REE kerana prosedur yang dilaksanakan pada ketika ini adalah memadai.

“Kementerian sebelum ini telah menyediakan SOP Perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) di Malaysia dan mengedarkannya kepada Kerajaan Negeri melalui surat bertarikh 20 Disember 2023.

“SOP tersebut merangkumi aspek praperlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan termasuk aspek pemuliharaan kawasan bekas lombong dan pengeksportan.

“Bagaimanapun, Kementerian dimaklumkan bahawa pemakaian SOP tersebut masih dalam pertimbangan Kerajaan Negeri Kedah,” menurut kenyataan itu.

NRES berkata, melalui surat tersebut juga, pelaksanaan moratorium aktiviti pengeksportan mentah REE turut dimaklumkan sebagai inisiatif bagi membangunkan industri di peringkat pertengahan.

Namun, jelasnya, penggerak projek perintis REE di Mukim Kenering, Daerah Hulu Perak yang dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak sebelum ini diberi kebenaran untuk mengeksport REE secara mentah dalam bentuk ‘rare earth carbonate’ (REC).

Menurut NRES, kebenaran pengeksportan yang diberikan kepada pihak syarikat pada masa ini telah dipersetujui Jemaah Menteri untuk satu tempoh yang munasabah.

“Selain daripada itu, Kementerian tidak pernah meluluskan apa-apa kebenaran eksport seperti didakwa,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendesak agar SOP berkaitan perlombongan REE di negeri itu diluluskan secepat mungkin bagi mengelak bahan mineral itu dieksport secara haram.

Beliau dilaporkan berkata, walaupun Kedah sudah mengeluarkan SOP sendiri, namun aktiviti eksplorasi tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana terikat dengan undang-undang berkaitan pengeksportan bahan itu.

Mengulas dakwaan Muhammad Sanusi bahawa ada pihak mengisytihar REE sebagai ‘lanthanide’ dan dieksport secara haram, NRES menjelaskan mengikut rekod Jabatan Mineral dan Geosains Kedah/Perlis/Pulau Pinang (JMGKPP), setakat ini tiada syarikat yang mendapat kelulusan dengan menggunakan istilah ‘lanthanide’ di negeri Kedah.

Lanthanide adalah sekumpulan 15 unsur yang dikategorikan sebagai REE.

“Bagi penguatkuasaan aktiviti perlombongan haram dan penyeludupan keluar REE di Kedah, beberapa tindakan dilaksanakan oleh NRES melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

“Ini termasuk menjalankan pemantauan bersepadu bersama agensi Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Kedah, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dan lain-lain di kawasan yang telah diluluskan Lesen Penjelajahan di Hutan Simpan Bukit Enggang, Sik Kedah.

“Selain itu, pemantauan bersepadu dilaksanakan bersama agensi JPNK, PDRM, PTG, PERHILITAN dan lain-lain di kawasan yang berpotensi REE di Kedah secara berkala dengan kekerapan enam bulan sekali dan juga secara mengejut jika ada keperluan.

“Pihak JMG turut menjalankan pemeriksaan dan semakan di pelabuhan sekiranya ada pengeksportan mineral,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini