Tumpuan :
Nasional

EKSKLUSIF: Bekas ‘Gangster’, dari lawan menjadi kawan polis

Oleh: Juliana Sharin

KUALA LUMPUR: Sekali tersasar dari landasan, tidak selamanya sesat asalkan ada niat untuk berubah.

Pernah bergelar ‘Gangster’, namun akhirnya terbuka hati untuk kembali ke pangkal jalan.

Dari bergelumang dengan jenayah, kini mendekatkan diri dengan aktiviti kebajikan, malah keazamannya berhijrah membolehkan individu digelar ‘Ayahanda’, kini menjadi sahabat polis.

Yang dimaksudkan adalah individu bernama Fazil Mohd Dali atau lebih dikenali sebagai Ayahanda Cik Ton.

Dia dahulunya pernah tersenarai antara individu yang dikehendaki polis kerana terlibat dalam kegiatan jenayah.

Selaku orang kuat dalam kumpulan, dia memperoleh pendapatan lumayan selain megah dikelilingi orang bawahan.

“Saya berubah sebab anak saya sekolah tahfiz. Anak saya banyak tegur, benda benda yang dahulu saya pakai rantai emas, pakai gelang, jadi bila anak sendiri dah tegur kita tak dengar, anak kita akan buat perkara yang sama dengan kita,” kongsinya.

Perjalanan hidupnya bertukar 360 darjah daripada seorang ‘kaki pau’ yang digeruni kepada aktivis masyarakat.

Media sosial digunakan sebaiknya untuk menghebahkan perkara positif, apatah lagi dia kini mempunyai ratusan ribu pengikut.

Dia turut mengasaskan sebuah pertubuhan kebajikan pada 2013 , dengan 62 NGO di bawah naungannya.

Baginya, biarpun usaha itu tidak dapat menebus semua dosa silamnya, setidak tidaknya ia dapat mengikis tanggapan buruk masyarakat terhadap insan sepertinya.

“Nasihat saya, dahulu kita tak tengok kepala (ketua) kita. Dia bawak kita pergi masjid? Tak dia pun tak ke masjid. Dia bawak kita ke majlis ilmu? Dia pun tak pergi majlis ilmu. Dia bawak kita pergi mana? Paling jauh paling seronok pun kelab malam sahaja, paling seronok pun hancur kedai orang sahaja. Paling seronok buat benda benda yang boleh menyebabkan mudarat pada diri kita sendiri,” katanya.

Ayah kepada 15 orang anak ini, bersyukur diberi peluang kedua untuk kembali ke pangkal jalan.

Imej baharunya itu turut diterima baik sahabat kongsinya dahulu.

“Saya dah benci nama gelaran saya. Jadi saya banyak bahasakan diri saya baba. Sebab anak saya panggil saya baba. Sampaikan orang luar pun panggil saya baba. Yang mana kotor kita lap, supaya perjalanan kita, kekotoran kita tidak melekat dekat tubuh kita yang boleh mejadi asbab orang ingat kejahatan kita,” jelasnya lagi.

Pada Jun tahun lalu, 30 bekas tahanan Ordinan Darurat, EO Selangor, dikumpulkan dalam satu majlis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata golongan itu berazam “cuci tangan” dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Tambahnya, “taiko-taiko” yang menyesal, secara sukarela menawarkan diri membantu pihak polis, termasuk memberi motivasi kepada pelajar sekolah agar tidak terjebak dengan kumpulan gangsterisme.

“Mereka mempunyai berbagai berbagai maklumat yang boleh membantu pihak polis yang kita amat berterima kasih kepada mereka walaupun mereka tahu keselamatan mereka mungkin terancam tetapi kita ingatkan mereka di luar sana yang ingin mengancam orang perseorangan yang ingin membantu pihak polis, kita ada undang undang, negara kita ada undang,” tegas beliau.

Loading...
Terkini