Tumpuan :
Jenayah

[EKSKLUSIF] Trend pelacuran moden ‘Dark Side’ jerat remaja di media sosial


Oleh: Fahmi Tajuddin & Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Platform media sosial hari ini dibanjiri dengan trend akaun ‘Dark Side’ yang menjadi platform kepada aktiviti persundalan dan pelacuran moden.

Modus operandi yang mudah, berbekalkan gambar atau video berkelakuan lucah yang dimuat naik di media sosial seperti aplikasi X, dan Telegram dan menjualnya pada kadar harga tertentu yang menjanjikan pendapatan ribuan ringgit sebulan.

Kru Buletin TV3 mengikuti serbuan Ops-E Noda oleh Bahagian Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Maksiat, dan Perjudian (D7) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman baru-baru ini yang menahan lebih 20 penggiat ‘Dark Side’ di seluruh negara.

Hanis ketika diserbu PDRM di sebuah kondominium di Ibu Negara dalam Ops E-Noda.

Pengaruh rakan sebaya, ajar individu jalan pintas jana pendapatan

Seorang remaja perempuan yang hanya ingin dikenali sebagai Hanis memaklumkan, dia pada asalnya terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya yang memintanya untuk menghantar gambar tidak senonoh kerana mampu mendapat wang sebagai pulangan.

Katanya, bayaran yang dikenakan adalah berjumlah RM100 hingga RM150 bagi setiap pelanggan.

Malah, bukan hanya gambar dan video lucah, perkhidmatannya merangkumi khidmat seks kepada mana-mana individu yang berminat menerusi slot yang dibuka pada waktu tertentu.

“Waktu tu main aplikasi tertentu, lepas tu ada orang suruh bagi gambar tak senonoh. Dari situ saya belajar boleh buat duit macam ni.Pelanggan ada dalam kalangan mahasiswa dan individu yang sudah berumah tangga.

“Mak dan ayah tak kerja, adik-beradik ramai, dan saya nombor empat. Saya tak nak hidup susah.

“Saya dah hasilkan lebih 100 video, ada video (lucah) sendiri ada dengan orang lain, tapi saya buat ni sebab nak duit,” jelasnya.

Ditanya sama ada kegiatannya itu diketahui oleh ahli keluarga, Hanis berkata, ibu dan kakaknya tahu tentang kelakuannya dan sering menasihatinya untuk meninggalkan perbuatan terbabit.

“Mak tahu saya buat ni, sebab baru-baru dia ada check telefon, dia pesan balik la kampung, berhentilah buat semua ni nak,” kongsinya dalam keadaan sebak.

Walau bagaimanapun, kelangsungan hidup dengan cara yang tidak bermaruah menjadi alasan untuknya terus melakukan kegiatan itu.

Sam (berbaju merah) ketika ditahan PDRM di kediamannya dalam Ops E-Noda baru-baru ini.

Mampu jana ribuan Ringgit sebulan

Selain Hanis, kru Buletin TV3 turut mendekati, Seorang pelajar Tahfiz yang terjerah dalam kancah pelacuran moden itu.

Hanya mahu dikenali sebagai Sam, pemuda berusia lingkungan 20-an itu antara individu yang ditahan polis dalam serbuan baru-baru ini.

Sam berkongsi pada awalnya, isu tekanan kewangan, dan faktor keluarga menjadi punca kepada dia bertindak berkongsi gambar tidak senonoh di media sosial dengan kadar harga RM50 hingga RM100.

“Awal-awal tu terdesak sahaja, dan buat bila perlu duit tapi kelamaan saya jadi ketagih.

“Dulu saya pelajar tahfiz. Awalnya rasa bersalah dan berdosa, tapi sebab terdesak, saya teruskan sebab susah nak berhenti.

“Saya memang dah lama berhenti, sebab bend ani memang salah, bila kena tangkap macamni saya anggap macam tanda besar untuk berhenti.

“Saya anak tunggal dan saya rasa mak saya kecewa dengan saya, tapi saya terdesak,” katanya.

Sam juga berkata, dia mampu mendapat pendapatan bulanan sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 jika pelbagai kandungan lucah dimuat naik dalam tempoh satu hari.

Kegiatan itu menimbulkan persoalan besar mengenai pengaruh media sosial terhadap kanak-kanak dan remaja.

Pengaruh mudah alih dan aplikasi dalam talian, selain tekanan hidup, dilihat menjadi faktor utama mengapa individu terutamanya remaja terjerumus ke dalam kancah ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini