Oleh Ridhwan Rusydi Azri Roslan
CAMERON HIGHLANDS: Bermula dengan hanya menulis blog untuk mengisi masa lapang namun, siapa sangka kini puluhan ribu individu mengikuti kisah beliau dan anak-anak murid melalui perkongsian di media sosial.
Bukan setakat itu, malah beliau turut menggunakan platform tersebut bagi membantu pihak sekolah dan komuniti orang asli di kawasan itu.
Siapa sangka, di sebalik akaun Bungo Lale ini, berdiri teguhnya seorang wanita yang cekal mendidik anak bangsa iaitu guru SK Lemoi, Hanisah Mat Hussin.
Walaupun terpaksa meninggalkan ibunya sendirian di kampung halaman, namun baginya, apa guna kudrat yang ada jika berhenti separuh jalan bak kata pepatah, harapan tak putus sampai jerat tersentak rantus.
“Tapi saya rasa bukanlah pengorbanan yang besar sebab kita tahu, bila kita jadi guru ni, kita kena bersedia, di mana sahaja kita ditempatkan, kita kena terima dan kita kenalah untuk sesuaikan diri.”
Beliau tidak menyangka perkongsian kisah kehidupan anak orang asli di sekolahnya itu, mampu menarik perhatian masyarakat.
Menceritakan kisahnya, beliau ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Lemoi, Cameron Highlands pada tahun 2010 dan menjadi guru wanita pertama yang berkhidmat di sekolah itu.
Sekolah itu menjadi penempatan pertama beliau dan akuinya, sehingga ke hari ini, tiada sekelumit rasa pun ingin berpindah dari sekolah itu.
“Dengan jalan yang tidak diturap dengan selut yang agak tinggi lah juga lumpur dia kan, jadi cabaran dia setiap kali nak masuk tu kita memerlukan masa berjam-jam untuk sampai, selalunya juga sebab motor masuk selut,motor tak boleh keluar termasuk selut, kita kena gunakan tenaga hak jalan balik sampai sekolah.”
Malah, faktor lain seperti tanah runtuh, pokok tumbang dan haiwan liar seperti harimau turut menjadi kerisauan.
Tetapi, selepas 13 tahun menjadi tenaga pengajar di sana, baginya alah bisa tegal biasa.
Namun pastinya, pelbagai kenangan yang beliau peroleh sepanjang mengajar dan membentuk anak bangsa di Lemoi.
Beliau berharap agar guru-guru baharu sanggup menerima tawaran sama ada di bandar atau pedalaman kerana mempunyai cabaran tersendiri.
Mungkin bagi sesetengah individu,kerjaya guru ini nampak mudah, namun seperti cerita cikgu Hanisah, hanya mereka sendiri yang tahu kepayahan dan pahit jerih profesion tersebut.
Jadi kepada semua guru diluar sana, teruslah mendidik dan memimpin putera puteri negara kita.
Selamat Hari Guru!