comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pakaian & barangan tradisi jadi pilihan pupuk semangat perpaduan

 

Oleh Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Diaspora masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) antara faktor permintaan pakaian dan barangan tradisi suku kaum itu meningkat dan terus menjadi pilihan bukan sahaja di Sabah malah ke luar negara.

Para peniaga tidak menang tangan menerima tempahan tidak kira tradisi atau kontemporari sepanjang musim pesta menuai kali ini.

Bukan sahaja dipakai ketika musim perayaan, keramaian atau perkahwinan malah ia juga sudah menjadi salah satu trend dalam sesebuah acara rasmi atau kasual.

Biarpun memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Pengurusan Psikologi Monash University, Albert Obert Vincent berasal dari Tambunan memilih untuk menjadi pengusaha busana tradisi sejak lebih sedekad lalu.

Sinonim dengan penerimaan tempahan busana eksklusif untuk ratu cantik ‘Unduk Ngadau’, hasil sentuhannya turut mendapat permintaan dari luar negara seperti Australia, Jepun, Eropah dan Amerika Syarikat.

“Dan agak mengejutkan juga bukan orang Sabahan sahaja yang meminta buat tapi orang semenanjung dari Kelantan, daripada Pulau Pinang, Johor memang orang di sana pun turun sini minta buat,” kata Pengusaha busana KDMR, Albert Obert Vincent.

Pemilihan rekaan, fabrik dan motif minimalis, santai sertai kasual bagi penggemar ‘outdoor’ juga tidak ketinggalan menggayakan elemen KDMR selain harganya yang berpatutan dan mudah dipakai ke mana sahaja.

“Dari segi perpaduan apa yang saya lihat bukan sahaja masyarakat kadazan dusun yang pakai tetapi cina, india, melayu sendiri yang akan celebrate beli pakaian ni untuk durang sambut hari kaamatan nanti,” kata peniaga, Nazri K. Hamid.

Pelbagai barangan aksesori dan kraftangan menjadi pelengkap sesebuah kostum bukan sahaja merancakkan ekonomi tempatan sesebuah komuniti sekaligus memartabatkan khazanah warisan tidak ternilai ini.

“Saya tidak dapat kira memang dari kecil inilah kerja kami, tidak pernah kerja, kerja sendirilah ini manik barang bakul-bakulah, nyiru,” kata pembuat kraftangan, Jukiah Bingkungu.

Bertemakan ‘Kaaamatan Membudayakan Perpaduan’ tahun ini sejajar dengan konsep Sabah Maju Jaya dan Malaysia MADANI.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual hadir pada kemuncak Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) esok.

Bukan sahaja memeriahkan suasana malah menjadi salah satu potensi kejayaan hasrat Jawatankuasa Sambutan untuk didaftarkan dengan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). Kaamatan Mongubasanan Pisompuruan, kotobian tadau tagazo do kaamatan.

Kaamatan Membudayakan Perpaduan, Selamat menyambut Pesta Kaamatan.

Loading...
Terkini